BELAJAR MELALUI TONTONANTahukan anda bahawa belajar melalui tontonan merupakan salah satu gaya belajar (learning styles) yang boleh membawa kesan dalam proses pembelajaran. Rancangan televisyen terutamanya yang memaparkan keadaan alam, benda, manusia, haiwan dan kejadian fenomena alam merupakan nilai tambah terhadap pengetahuan pada topik pembelajaran di sekolah. Kini rancangan video boleh dimainkan semula pada perkakasaan tertentu mengikut format masing-masing sama ada dalam bentuk paparan klip video di skrin komputer, Video-CD (VCD), DVD atau pita video. Kementerian Pelajaran Malaysia telah melancarkan EduwebTV yang banyak menyediakan rancangan berbentuk rencana, wawancara dan berita yang boleh dimuat turun untuk tujuan tontonan. Justeru, murid-murid harus mengambil peluang untuk menonton klip video tersebut yang berkaitan dengan pelajaran. Anda harus lakukan perkara-perkara berikut agar klip video tersebut dapat digunakan secara lebih berkesan. • Memilih tajuk: Anda harus bijak memilih tajuk. Tajuk yang dipilih perlulah berkaitan dengan topik-topik mata pelajaran yang dipelajari di sekolah. • Pra tontonan (sebelum) : Pada peringkat ini anda harus memahami topik yang berkaitan dengan klip video yang dipilih. Dengan cara ini ia dapat membantu daya tumpuan anda ketika menontonnya. • Semasa tontonan: Ketika menonton pastikan anda mencatat maklumat penting seperti istilah-istilah yang digunakan, objek yang terdapat dalam tayangan tersebut dan isipati penerangan yang diberikan. Anda juga harus mencatat perkara-perkara yang tidak difahami termasuk istilah-istilah yang digunakan, proses yang dijalankan atau peristiwa yang berlaku. • Pasca tontonan (selepas): Selepas menonton anda harus melihat semula catatan yang dibuat. Senaraikan istilah, proses atau peristiwa yang terdapat dalam tayangan video tersebut. Semak catatan tadi dengan nota yang diberikan oleh guru atau maklumat yang terdapat dalam buku teks. Sudah pasti maklumat yang anda peroleh melalui tontonan tadi mampu memantapkan lagi pemahaman anda terhadap topik pembelajaran di sekolah. Jika maklumat yang dikumpul itu mengelirukan anda harus bertindak pantas berjumpa dengan guru untuk mendapatkan penerangan dan penjelasan. Sesungguhnya maklumat pembelajaran boleh disalurkan melalui pelbagai media sama ada yang bercetak, secara lisan, tulisan, bunyi atau melalui tontonan. Walau bagaimanapun setiap media yang digunakan haruslah mengikut etika yang tertentu dan jangan sampai ia disalahgunakan. |
Tuesday, August 25, 2009
Posted by Lajem at 3:03 PM 0 comments
Tuesday, August 18, 2009
Makmal Komputer Sebagai Makmal Bahasa
Oleh TUN FAISAL ISMAIL AZIZ
Saya yakin ramai yang menyokong penuh pengumuman Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas hasrat beliau untuk menaik taraf makmal komputer agar dapat digunakan sebagai makmal bahasa. Hasrat beliau ini sekurang-kurangnya dapat memberi harapan baru kepada guru-guru di sekolah yang sekarang ini berdepan dengan masalah komputer usang dan rosak di dalam makmal komputer di sekolah mereka.
Selepas artikel mengenai penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di sekolah tersiar, saya telah menerima sejumlah komen dan aduan melalui e-mel dan Facebook saya. Kebanyakannya memaklumkan keadaan komputer dalam makmal komputer sekolah mereka yang rosak.
Pada pandangan saya usaha menaik taraf makmal komputer untuk turut berfungsi sebagai makmal bahasa mempunyai cabarannya yang tersediri. Pertamanya, berdasarkan anggaran, sekiranya terdapat sejumlah 4,500 buah makmal yang dibina oleh Kementerian Kewangan melalui projek penkomputeran dan makmal komputer Fasa I dalam tahun 2002 dan Fasa II dalam tahun 2003, maka terdapat sekitar 90,000 unit komputer yang perlu digantikan dengan unit yang lebih baru.
Jika komputer ini diperoleh pada tahun 2002 dan 2003, ini bermaksud terdapat sekitar 90,000 unit komputer yang berusia enam hingga tujuh tahun di makmal komputer sekolah-sekolah kita. Selalunya hayat komputer hanyalah sekitar dua hingga tiga tahun. Selepas tempoh ini, biasanya alat ganti komputer model tersebut sudah tidak dikeluarkan lagi oleh pengeluar dan terdapat keperluan untuk penyelenggaraan teknologi, bukan sahaja dari aspek alat ganti perkakasan, tetapi termasuk juga dari segi aplikasi dan perisian komputer tersebut.
Jika alat ganti sudah tidak dikeluarkan lagi, maka masalah komputer di makmal tidak boleh diselesaikan melalui penyelenggaraan kerana kosnya menjadi tidak efektif lagi. Mahu tidak mahu, komputer ini perlu digantikan dengan unit yang lebih baru.
Sebenarnya tidak begitu sukar bagi menggantikan komputer usang ini dengan komputer yang baru kerana saya difahamkan bahawa ia masih boleh diperoleh melalui kontrak bekalan berpusat yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dua tahun yang lalu. Sekiranya silingnya masih tidak dicapai dan tempoh kontrak masih belum luput, maka para pegawai di KPM perlu segera melaksanakan perolehan. Jika tidak, guru-guru di sekolah terpaksa menunggu lagi sementara tender kontrak perbekalan baru dikeluarkan.
Begitu pun bagi melaksanakan penggantian, KPM perlu melaksanakan proses lupus kira terlebih dahulu. Sekiranya proses ini dipatuhi, maka ia akan mengambil sedikit masa bagi bahagian-bahagian bertanggungjawab melaksanakan ke atas sekolah-sekolah di seluruh negara.
Kedua adalah cabaran untuk menguruskan jadual penggunaan makmal komputer. Di sekolah menengah misalnya, terdapat rungutan bahawa permintaan untuk penggunaan makmal komputer adalah begitu tinggi. Ini menyebabkan masa dedahan pelajar terhad dan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) tidak dapat dimaksimumkan. Ini merupakan antara asas kenapa Pusat Akses diperkenalkan di sekolah-sekolah. Selain pengurusan jadual, `housekeeping’ dan penyelenggaraan sistem turut mengambil masa yang agak panjang.
Ketiga, biarpun komputer ini boleh digantikan, namun spesifikasinya perlu sesuai dengan P&P pengajaran bahasa. Pada waktu yang sama ada kemungkinan KPM perlu menambah perkakasan yang sesuai bagi membantu P&P subjek bahasa. Justeru, peruntukan tambahan perlu dicari bagi tujuan ini. Sekiranya peruntukan tidak mencukupi dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) maka ia perlu dibida dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
Pada waktu yang sama, saya berpandangan ada kemungkinan KPM wajar melihat kaedah untuk memanfaatkan web-TV bagi membantu P&P dalam kelas menggunakan komputer bimbit dan projektor yang dibekalkan. Mungkin elok juga menggunakan kontrak bekalan berpusat bagi menempatkan komputer meja di dalam setiap kelas dan dirangkaikan dengan projektor yang sedia ada. Selain itu, KPM juga wajar melihat ke hadapan dan mengikut trend negara-negara yang lebih maju penggunaan ICT di dalam kelas dengan merancang perolehan papan putih interaktif yang sekarang ini semakin menggantikan penggunaan komputer meja dalam P&P.
Posted by Lajem at 9:38 AM 0 comments