BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, August 25, 2009

BELAJAR MELALUI TONTONAN

Tahukan anda bahawa belajar melalui tontonan merupakan salah satu gaya belajar (learning styles) yang boleh membawa kesan dalam proses pembelajaran. Rancangan televisyen terutamanya yang memaparkan keadaan alam, benda, manusia, haiwan dan kejadian fenomena alam merupakan nilai tambah terhadap pengetahuan pada topik pembelajaran di sekolah.

Kini rancangan video boleh dimainkan semula pada perkakasaan tertentu mengikut format masing-masing sama ada dalam bentuk paparan klip video di skrin komputer, Video-CD (VCD), DVD atau pita video.

Kementerian Pelajaran Malaysia telah melancarkan EduwebTV yang banyak menyediakan rancangan berbentuk rencana, wawancara dan berita yang boleh dimuat turun untuk tujuan tontonan.

Justeru, murid-murid harus mengambil peluang untuk menonton klip video tersebut yang berkaitan dengan pelajaran. Anda harus lakukan perkara-perkara berikut agar klip video tersebut dapat digunakan secara lebih berkesan.

• Memilih tajuk: Anda harus bijak memilih tajuk. Tajuk yang dipilih perlulah berkaitan dengan topik-topik mata pelajaran yang dipelajari di sekolah.

• Pra tontonan (sebelum) : Pada peringkat ini anda harus memahami topik yang berkaitan dengan klip video yang dipilih. Dengan cara ini ia dapat membantu daya tumpuan anda ketika menontonnya.

• Semasa tontonan: Ketika menonton pastikan anda mencatat maklumat penting seperti istilah-istilah yang digunakan, objek yang terdapat dalam tayangan tersebut dan isipati penerangan yang diberikan. Anda juga harus mencatat perkara-perkara yang tidak difahami termasuk istilah-istilah yang digunakan, proses yang dijalankan atau peristiwa yang berlaku.

• Pasca tontonan (selepas): Selepas menonton anda harus melihat semula catatan yang dibuat. Senaraikan istilah, proses atau peristiwa yang terdapat dalam tayangan video tersebut. Semak catatan tadi dengan nota yang diberikan oleh guru atau maklumat yang terdapat dalam buku teks. Sudah pasti maklumat yang anda peroleh melalui tontonan tadi mampu memantapkan lagi pemahaman anda terhadap topik pembelajaran di sekolah. Jika maklumat yang dikumpul itu mengelirukan anda harus bertindak pantas berjumpa dengan guru untuk mendapatkan penerangan dan penjelasan.

Sesungguhnya maklumat pembelajaran boleh disalurkan melalui pelbagai media sama ada yang bercetak, secara lisan, tulisan, bunyi atau melalui tontonan. Walau bagaimanapun setiap media yang digunakan haruslah mengikut etika yang tertentu dan jangan sampai ia disalahgunakan.


0 comments: